Tuesday 21 August 2012

Tak sempat raya

PEKAN: Dua beranak yang dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri terbunuh selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan di Kilometer 20, Jalan Pekan-Nenasi di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, mangsa, Khairul Azhar Hashim, 36, dari Ulu Batu 4, Temerloh, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak lelakinya, Muhammad Amiruddin, 3, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pekan (HP) Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, ketika kejadian, dua beranak terbabit yang menaiki Perodua Viva dikatakan dalam perjalanan menghala Rompin dari Pekan untuk pulang ke kampung.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu Proton Perdana yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu bertembung dengan kenderaan mangsa.

Katanya, akibat pertembungan itu, mangsa bersama anaknya dikatakan tersepit dalam kenderaan sebelum dikeluarkan orang ramai dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pekan.

“Bagaimanapun, Khairul Azhar maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di kepala manakala anak mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HP berikutan kecederaan sama.

“Pada masa sama, pemandu Proton Perdana itu hanya cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar sebelum membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Trafik,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, jenazah dua beranak berkenaan sudah dituntut ahli keluarganya selepas dibedah siasat di HP, kelmarin.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment